
Pastinya
sesuatu yang cukup mengujakan apabila empat band lagenda rock Asia ,
Loudness, Search, Rusty Blade dan Slank bergabung di atas satu pentas di
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun 2013, jam 4 petang.
Konsert
"mega" sempena judul album kelima Loudness ini bakal menjanjikan
kehebatan muzik heavy metal dan rock & roll era 80-an yang masih
relevan sehingga kini. Konsert Thunder In The East ini juga adalah
kunjungan kedua Loudness ke Kuala Lumpur selepas mengegarkan KL Life
Centre sempena World Tour King of Pain pada Julai 2011.

"Selama
30 tahun ditubuhkan dan sejak mula menyanyi bersama Loudness pada usia
21, pengalaman mendengar jeritan Kuala Lumpur membuat saya gembira
kerana tidak pernah merasainya. Kami harap dapat kembali ke sini awal
tahun depan," kata vokalis yang kini mencecah usia 53 tahun dan amat
menghargai sambutan padu dari audien Malaysia. Loudness juga bakal
menampilkan aksi gitaris cilik dari Jepun sebagai saguhati untuk peminat
yang hadir nanti.
Menurut pengarah projek Iman Tang, TITE 2013
lebih hebat dan 'setlist' yang lebih besar bakal dihidangkan Loudness
berbanding konsert mereka di sini dua tahun lalu. Setiap slot
persembahan legenda-lagenda rock ini bakal menampilkan tidak kurang dari
13 buah lagu, khas dari era 80'an khusus untuk para pengemar muzik
rock. Tercetusnya idea bagi mengadakan konsert gabungan bersama ini
adalah dari pemerhatian beliau dengan konsert Big Four, di mana ke
empat- empat band diberi "highlight " dan juga pembahagian masa
persembahan yang samarata .

Dalam
konsert ini, Search mahu bernostalgia dengan lagu-lagu era 80-an dan
hanya akan membawakan lagu-lagu dari album Cinta Buatan Malaysia,Langit
dan Bumi, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Fenomena dan juga Karisma.
"Kami
pernah bertemu di Singapura pada 1991 dan dia masih kenal saya hingga
sekarang. Saya terharu kerana Loudness memberi penghormatan untuk
bersama mereka di atas pentas dan sudah tentu pengalaman ini sukar
dilupakan," kata Amy.

Menambah
'panahan halilintar' dalam konsert Thunder In The East 2013 ialah Slank
yang diterbangkan khas dari Jakarta, Indonesia. Walaupun dalam kalangan
sebahagian peminat di Malaysia nama Slank tidaklah segah band-band
Indonesia lain yang lebih 'radio friendly' dan 'ganteng' tetapi di
Indonesia, Slank adalah fenomena.
Berbanding tiga band lain, Slank
yang dibarisi Kaka (vokal), Bimbim (dram), Abdee (gitar), Ridho (gitar)
dan Ivanka (bass) adalah yang paling 'junior' kerana album sulung
mereka Suit…Suit…He…He (Gadis Sexy) diterbitkan pada 1990. Namun, kini
dengan 19 album studio serta jualan keseluruhan mencecah jutaan unit,
mereka adalah 'living legend' di Indonesia dan layak di letakkan
sebaris bersama Search, Rusty Bladae dan juga Loudness.

Slank
pernah mengungguli Anugerah BASF bagi kategori Album Paling Laris dari
tahun 1991 hingga 1995 selain memenangi minimum satu anugerah dalam
Anugerah Muzik Indonesia (AMI) mulai 1997 hingga 2004. Setiap tahun,
mereka akan melakukan konsert jelajah di 60 kota seluruh Indonesia.
Setiap konsert pula dihadiri minimum 10,000 penonton dan ada yang
mencecah sehingga 100,000! Dan, ia adalah konsert berbayar dan bukan
percuma.
Menurut Abdee (gitaris) dalam satu temubual pernah
berkata, kehadiran Search ke Indonesia satu masa dulu telah memberi
banyak ruang kepada muzik rock untuk bertapak kukuh di Indonesia.
“Waktu itu band rock hampir tidak ada di arena muzik mainstream
Indonesia. Kalau orang tahu pun cuma Godbless. Selainnya dipenuhi dengan
penyanyi solo seperti Inka Christie, Broery Marantika, Hetty Koes
Endang atau Tommy J Pisa. Indonesia lebih menerima muzik pop, jazz dan
dangdut.
“Search membuka mata produser album di Indonesia. Ketika
itu semuanya mahu melahirkan band rock seperti Search, muzik seperti
Search dan sebagainya. Slank yang ketika itu sudah pun wujud dengan rock
n roll akhirnya tidak mempunyai masalah untuk mendapat kontrak rakaman.
Akhirnya album sulung kami, Suit…Suit…He…He (Gadis Sexy) mendapat
sambutan yang cukup hebat!
"Kami sebenarnya berterima kasih dengan
band rock dari Malaysia terutamanya Search. Kerana merekalah muzik rock
di Indonesia akhirnya berkembang hingga ke hari ini,” katanya.

Inti
muzik rocknya berat dan padat, namun sentuhan seni daripada jiwa Melayu
kekal melekat! Inilah dapat digambarkan mengenai Rusty Blade, band rock
yang bermula di Holland Village, di tengah-tengah kota Singapura pada
1979 selain pernah dilabel sebagai 'Iron Maiden of the East'.
Walaupun
Singapura juga adalah tempat kelahiran band rock legenda Melayu, Sweet
Charity serta band-band hebat lain seperti The Unwanted, Rockers dan
Lovehunters, tetapi Rusty Blade berbeza kerana muzik mereka lebih berat
selain persembahan yang cukup energetik! Jika orang lain selesa dengan
Deep Purple, Rolling Stones atau Scorpions, Rusty Blade lebih
berpaksikan Black Sabbath, Judas Priest dan Iron Maiden yang lebih
berat.
Walaupun berasal dari Singapura, Rusty Blade sebenarnya
dianggap sebahagian daripada pergerakan komuniti rockers yang mewarnai
muzik rock/heavy metal di Malaysia pada waktu itu, seiring dengan
nama-nama besar di Malaysia seperti Search, Wings, Lefthanded dan
Bloodshed. Rusty Blade dianggotai Yantzen (vokal), Khalid Mobin (gitar),
Md Noor Hendrix (gitar) dan Man Karan (bass). Mereka memiliki empat
album iaitu 786 Ikrar Perwira (1986); Rintangan Hidup Dunia (1987);
Berat (1988) dan Awas (1989) yang mana kesemuanya memiliki kelebihan
sendiri dari segi lagu dan gubahan muziknya.
Apa yang pasti,
gabungan empat band legenda dari empat negara berbeza di atas satu
pentas ini adalah berita yang amat dinanti-nantikan peminat rock
tempatan. Konsert ini bakal mencatat sejarah dengan gandingan lagenda
muzik dan juga bakal mengembalikan nostalgia rock di Stadium Merdeka.
Apa tunggu lagi, beli tiket dan kembali "study" lagu-lagu nostalgia
mereka seperti Pembakar Perasaan, Melastik ke Bintang, Derap Komando dan
lain lagi untuk sing along nanti. Jumpa di sana!
Info Tiket:
RM888 (VIP Platinum)
- Menonton dari ruang Rock Zone berhadapan pentas.
- Mengikuti bengkel gitar bersama Akira Takasaki di Bentley Music Auditorium, Kota
Damansara.
- Sesi 'meet and greet' bersama Loudness di Stadium Merdeka pada 30 Jun 2013 jam 12 tengah hari.
- Kemeja-T eksklusif percuma
- Poster percuma.
RM398 (VIP Gold)
- Menonton dari ruang Rock Zone di hadapan pentas.
- Sesi 'meet and greet' bersama Loudness di Stadium Merdeka pada 30 Jun 2013 jam 12
tengah hari.
- Kemeja-T eksklusif percuma
- Poster percuma.
RM258 (VIP Silver)
- Menonton dari ruang Rock Zone di hadapan pentas.
RM138 (Ticket Biasa)
- Hanya ticket biasa berdiri.
-
Tiket bagi dua kategori ini hanya dicetak terhad iaitu tiket VIP
Platinum sebanyak 400 keping manakala VIP Gold sebanyak 1,000 keping.
- Bagi
pembelian awal (early bird) bermula 18 Mei hingga 31 Mei ini, pembeli
layak mendapat diskaun sebanyak 10 peratus untuk semua tiket.
Facebook
Twitter@ThunderInEastMY; @clockwork_crew
Instagram@TITE2013